SATU KELUARGA SATU POKOK menjadi tema Mesyuarat PIBG SMASKP ke-5

Alhamdulillah, Mesyuarat Agung PIBG ke 5 telah berlangsung pada 18hb April 2009 bertempat di Dewan Besar Al-Khawarizmi. Mesyuarat kali ini agak berbeza kerana turut digabungkan dengan acara menanam pokok beramai-ramai. Dianggarkan 86% ahli PIBG telah hadir dari kalangan ibu bapa, dengan hampir seratus keluarga membawa sebatang pokok buah-buahan untuk di tanam. Projek ini adalah inisiatif Biro Keindahan dan Kebersihan Sekolah PIGB sebagai satu usaha untuk mengindahkan kawasan sekolah bersempena kempen Bumi Hijau.  Agenda Mesyuarat Agung PIBG kali ini  termasuklah pengesahan minit mesyuarat 2008, pembentangan laporan aktiviti PIBG antara lainnya program Siswa Mentor, Kelas Tambahan untuk memperbaiki prestasi sekolah, dan juga program pembangunan modal insan seperti World Memory Technique dan ESQ 165. Mesyuarat PIBG dan upacara menanam pokok ini telah dirasmikan oleh ADUN Kawasan Johol, iaitu YB Dato’ Roslan Bin Hj Md Yusof, yang turut berjanji untuk memberi peruntukan sebanyak RM3000.00 kepada tabung PIBG SMASKP.  Terima Kasih YB – jangan lupa bayar :-) dan Terima Kasih kepada ibu bapa yang hadir. Semoga pohon-pohon tersebut akan hidup dan segera berbuah untuk dinikmati pelajar dan guru-guru. Saya ingin mencadangkan agar pelajar membuat papan tanda bagi pokok masing-masing sebagai kenang-kenangan. And a very special thanks to all the teachers who worked hard to organise the events. We couldn’t have made it without all of you! :)

sepokok_sekeluarga

1 comment April 19, 2009

Salam Maulidur Rasul 1430H and some updates..

Salam ‘Alaika Ya Habiballah … Assalamualaikum semua.

1. Semoga hari ini, dah hari-hari akan datang kita akan terus berselawat kepada Rasulullah saw, agar kita mendapat syafaatnya di Hari Kemudian.

2. Tahniah kepada wakil pelajar SMASKP yang telah meraih Johan/Naib Johan/Tempat ke-3 pada Majlis Tilawah Al-Quran (MTAQ) 2009 pada 7 Mac yang lalu, PIBG amat berbangga dengan kemenangan SMASKP di dalam semua kategori yang telah dipertandingkan. Mabruk!
Tahniah juga kepada yang telah memenangi acara-acara sukan pada bulan lepas. Difahamkan ada beberapa lagi pertandingan ko-ku yang sedang dianjurkan, moga-moga SMASKP terus cemerlang sebagai Juara.

3. Untuk makluman, aktiviti-aktiviti PIBG juga telah berjalan sepanjang bulan Februari lepas 

(a) Mentor Siswa pada 6-8 Febuari, anjuran bersama Alumni SMASKP (UM) dan SMATT, dengan tema “Mahasiswa Pencetus Ilmu, Pembimbing Pelajar”. Ianya dihadiri pelajar-pelajar Ting. 1 dan 2.

(b) Program Bimbingan Kejayaan Pelajar oleh PIBG Biro Akademik, di mana siri bulan Feb ini membawa tajuk “Pengurusan Masa”, untuk pelajar Ting. 3 dan 5.

(c) Program “Switch On Your Memory” anjuran PIBG Biro Pembangunan Modal Insan yang telah membawa Mr Lim Teck Hoe, iaitu Asia Memory Record Holder, untuk berkongsi teknik-teknik menguatkan memori atau daya ingatan, dan berkongsi faktor-faktor yang memantapkan lagi penggunaan otak kita, agar pelajar dapat belajar dengan lebih cemerlang apabila memiliki otak yang cerdas. Program ini dihadiri semua pelajar.

(d) PIBG telah berupaya menghantar tiga orang guru ke ESQ Leadership Training, di mana program ESQ ini sedang dirancang untuk di bawa ke SMASKP. Biro Pemb Modal Insan sedang menyiapkan kertas kerja untuk mengumpul dana kerana secara umumnya, di program public, per head fee adalah Rm700. Namun kerana program ini amat efektif dan berciri world-class, PIBG akan berusaha untuk melaksanakan nya di peringkat sekolah. Program ESQ ini telah pun dibentangkan kepada Pengarah JHEAINS.

 4.  AJK PIBG telah bermesyuarat pada 17 Jan 2009, iaitu kali ke 4 bagi sessi 2008/2010. InsyaAllah minit mesyuarat akan dikemaskini. Saya minta maaf kerana minit yang lepas juga masih belum saya upload. Secara ringkasnya, perkara-perkara ini menjadi perhatian kami:

i) Hal kebajikan pelajar dari aspek kesihatan. PIBG mencadangkan ibu bapa membekalkan kismis kepada anak-anak masing-masing. PIBG akan membuat kajian jika dapat menyalurkan bantuan kepada pelajar yang kurang mampu. Difahamkan juga pengurusan Dewan Selera telah diambil alih oleh sekolah. Oleh itu pihak sekolah perlu memastikan pelajar dibekalkan dengan makanan yang berkhasiat dan bersih.

ii) Dari aspek kebersihan dan kelestarian sekolah, program Satu Keluarga Satu Pokok terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Biro yang bertanggungjawab akan membuat perancangan lebih terperinci untuk dibincangkan di dalam mesyuarat seterusnya. Longkang yang tersumbat dipenuhi tanah masih belum selesai pembersihannya kerana pekerja yang diupah telah berhenti. Pihak sekolah diminta usahakan hal ini.

iii) Difahamkan dari Cikgu Baharuddin, sekolah telah menempah 11 komputer baru, dan membaiki 10 komputer sedia ada. Dengan ini, kelas pembelajaran komputer dijangka akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Walaubagaimanapun, internet masih tidak dapat dibekalkan kepada sekolah kerana isu infra oleh pihak Service Provider.

Penutup kata, mari kita sama-sama doakan pelajar SMASKP yang telah menduduki SPM tahun lepas akan mendapat keputusan yang cemerlang dan lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini. InsyaAllah. Amin.

Add comment March 9, 2009

Salam Ma’al Hijrah 1430

Assalamualaikum dan Selamat Menyambut Tahun Baru 1430 pada semua pembaca blog ini.  Bagi pihak PIBG SMASKP, saya ingin meminta maaf kerana telah beberapa lama tidak mengemaskini blog.  Saya dapati ada di kalangan ibu bapa bagi pelajar-pelajar baru yang hendak menghantar anak mereka ke Tingkatan Satu, telah membaca blog ini bagi mendapatkan maklumat-maklumat tambahan berkaitan sekolah. Saya sedar posting terakhir pada September 2008 menyenaraikan beberapa “isu” yang pihak sekolah bersama-sama PIBG sedang menangani. Tetapi perlu saya perjelaskan di sini bahawa telah ada penyelesaian kepada beberapa isu tersebut dan sepatutnya saya telah post berita-berita terkini yang lebih positif. “Better late then never!” they say :-)

1) Masalah air telah lama selesai :-)

2) Dua daripada guru-guru yang berpindah ke Kementerian telah pulang semula ke SMASKP. Alhamdulillah dan Ahlan WaSahlah kami ucapkan. They are definitely wanted here! Pihak jabatan juga telah selesai sesi temuduga bagi guru-guru baru. Sementara menanti perlantikan rasmi, pihak sekolah telah “menggaji” 6 orang guru terlatih untuk mengisi kekosongan sedia ada. Dengan ini, masalah kekurangan guru tidak lagi berada di tahap serius. InsyaAllah pelajar-pelajar akan dapat belajar dengan baik.

3) AJK PIBG akan bermesyuarat tidak lama lagi dan insyaAllah kami akan pastikan ibu bapa mendapat “update” sewajarnya.

Sekian dulu, dan jangan kita lupa mendoakan saudara kita di Gaza yang sedang bertarung nyawa. Semoga berkat doa umat Islam sedunia, mereka akan lebih tabah untuk memerangi kekejaman, dan seandainya gugur, mereka tergolong sebagai para mujahid ahli syurga!

-Maria Marzuki, Naib YDP.

2 comments January 6, 2009

Kunjungan Hormat PIBG SMASKP ke Pejabat Pengarah JHEAINS

Pada 8-September-2008, beberapa wakil AJK telah membuat kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah JHEAINS seperti yang dirancang. Kunjungan ini diketuai oleh YDP En Shafiee dan turut disertai Naib YDP Pn Maria, Setiausaha Cikgu Zaidi, wakil AJK ibu bapa En Mustafa dan Pn Farihah serta wakil ajk guru Cikgu Junainah. Berikut adalah perkara-perkara yang telah dibincangkan beserta maklumbalas yang kami terima. Secara keseluruhannya, perbincangan tersebut mencapai objektif. Pihak AJK PIBG mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengarah beserta pegawai-pegawai yang turut hadir. Kami selaku AJK PIBG juga amat mengharapkan pihak ibu bapa sekelian dapat bersabar menantikan tindakan-tindakan yang selanjutnya dari pihak Jabatan maupun dari pihak sekolah dan AJK. Sempena bulan yang mulia penuh keberkatan ini, marilah kita banyak berdoa agar Allah mempermudahkan urusan guru-guru untuk mendidik anak-anak kita dan agar pihak Jabatan dan Kerajaan Negeri juga dapat segera melaksanakan perancangan mereka demi masa hadapan anak-anak SMASKP (dan juga mereka di ITQAN dan Maahad Ahmadi Gemencheh). 

1. Penyelenggaraan Sekolah

  • Masalah bekalan air di SMASKP berlanjutan selama 6 minggu bagi pelajar di asrama lelaki.
  • Warden sekolah yang mengambil inisiatif untuk memeriksa tangki mendapati tangki air utama amat kotor dan saluran paip utama ke ASPURA tersumbat.
  • Longkang besar sekolah tersumbat menyebabkan air bertakung
  • Tangki kumbahan bermasalah
  • Terdapat dawai elektrik rosak yang terbiar
  • Walau apapun puncanya, masalah utama ialah penyelenggaraan sekolah tidak pernah dilaksanakan secara berkala seperti yang sepatutnya. Perkara asas ini, jika tidak berjalan, boleh membawa kepada kerosakan lebih teruk kepada kemudahan asas sekolah (air, elektrik, sistem kumbahan, dll).

>> Maklumbalas Pengarah

  • Pihak jabatan telah membuat lawatan ke sekolah berkaitan kerosakan tangki air utama dan menghubungi pihak-pihak berkenaan. Pada ketika perbincangan dijalankan, pegawai unit pembangunan telah memaklumkan masalah air ke ASPURA telah selesai setelah kerosakan dibaiki pada 5-7 september.  (Alhamdulillah).
  • Pihak jabatan mempunyai masalah untuk menggaji pekerja tetap untuk menyelenggara sekolah kerana kekurangan sumber kewangan. Proses pendaftaran 15 sekolah agama kerajaan negeri ke Kerajaan Persekutuan masih di dalam proses. Maka bajet sediada masih belum dapat digunakan sepenuhnya oleh 3 sekolah yang masih kekal dibawah kerajaan negeri.

2. Masalah Kekurangan Guru

  • Setiausaha telah menyediakan edaran kepada Pengarah, iaitu senarai guru-guru di SMASKP, status mereka dan keperluan sebenar guru.  Disertakan juga analisa keputusan peperiksaan SPM yang menunjukkan kemerosotan, yang antara sebab utamanya adalah masalah guru yang tidak mencukupi disamping kemudahan asas seperti makmal, bengkel KHB, dll.
  • Terkini, sekolah ada  21 orang guru – sepatutnya 30.  Guru terpaksa mengajar subjek yang bukan menjadi opsyen mereka. Akibatnya para pelajar tidak dapat memahami pelajaran tersebut secara mendalam.
  • Subjek Hadis, Tafsir dan Feqah tidak dapat ditawarkan kerana tiada tenaga pengajar.
  • Dan masalah ini menjadi lebih besar apabila 8 dari guru-guru ini memohon untuk ke Kementerian/ke MARA/berpindah. Sebab utamanya adalah kerana guru-guru ini masih berstatus Sandaran.
  • Para guru ternanti-nanti temuduga dari pihak Jabatan namun masih ditangguhkan sedangkan Kementerian telah memanggil temuduga baru-baru ini. Walaupun mereka amat dedikasi dan sayang pada sekolah ini, tetapi masa hadapan mereka dan keluarga mereka juga amat penting. Mereka pasti tidak akan memohon ke Kementerian jika dapat ditawarkan jawatan tetap.

>> Maklumbalas Pengarah

  • Kementerian Pelajaran telah berjanji untuk menyelesaikan isu Opsyen guru sehingga November 2008. Pihak jabatan hanya dapat membuat tawaran setelah selesai isu tersebut. Sementara itu, jika ada guru yang hendak ke Kementerian, pihak jabatan tidak boleh halang.

3. Kekurangan Kemudahan

  • SMASKP kekurangan kelas, bahan bantu mengajar, makmal bahasa, kemudahan internet, makmal komputer, bangunan tambahan untuk pengajian e’dadi, bas sekolah serta surau yang sudah tidak dapat menampung jumlah pelajar sedia ada. Sudah pastinya ia tidak akan dapat menampung pengambilan pelajar pada tahun seterusnya
  • PIBG tahu ini bukan di dalam bidang kuasa kami, tetapi amat berharap jabatan telah membuat perancangan secukupnya untuk memastikan pelajar dapat belajar di dalam suasana yang kondusif.
  • PIBG sekadar mencadangkan agar pada tahun 2009, jumlah pelajar baru bagi tingkatan 1 dihadkan kepada satu kelas pelajar perempuan, dan satu kelas pelajar lelaki, sementara pengambilan pelajar tingkatan 4 dihentikan. Dengan ini, para guru pakar yang sedia ada dapat menumpukan perhatian kepada Pelajar Tingkatan 5 yang lebih kritikal memandangkan keputusan mereka sekarang di Tingkatan 4 tidak memuaskan.  Kemasukan guru baru, jika ada dapat disalurkan ke pengajian menengah rendah. Kemasukan 60 pelajar berbanding lebih 80 yang akan meninggalkan sekolah akan memberi ruang dan keselesaan pada pelajar yang tinggal/baru, sementara infrastruktur dan kemudahan sekolah diperbaiki  oleh pihak Jabatan.
  • Pihak PIBG juga mencadangkan agar disediakan Rumah Pengetua di dalam kawasan sekolah agar beliau dapat memantau progres sekolah dan pelajar dengan lebih baik. Agak sukar bagi Pengetua sekarang untuk melaksanakan tugasnya jika beliau terpaksa berulang-alik agak jauh.

>> Maklumbalas Pengarah

  • Menurut pegawai bahagian pendidikan, pihak jabatan telah membentangkan kertas kerja dan bajet 2009/2010 kepada pejabat SUK yang merangkumi perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh PIBG hari ni seperti kemudahan, rumah pengetua dan sebagainya.

—————————————————————————-

AJK PIBG ingin memberi satu kepastian kepada pihak ibu bapa, bahawa kami tidak akan mendiam diri menanti kelulusan bajet oleh kerajaan negeri. Sementara pihak jabatan menjalankan tugas mereka, AJK akan terus memikirkan cara-cara untuk “mempercepatkan” penyelesaian isu-isu ini termasuklah membuat kunjungan hormat ke Pejabat MB jika perlu. AJK PIBG juga akan bermesyuarat selepas cuti hari raya bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, beserta perancangan program PIBG sendiri.

Sekali lagi kami menyeru semua ibu bapa berdoa agar Allah memberikan kemudahan kepada guru-guru sekolah dan rakan-rakan kita di Jabatan untuk melaksanakan tugas mereka di dalam keadaan kekangan kewangan dan tenaga pekerja, agar diberi kekuatan untuk terus berjuang bersama-sama demi kejayaan anak-anak kita. Dan saya doakan di saat ini agar anak-anak kita di sekolah di dalam perlindungan Allah swt dan ibadah belajar mereka mendapat keberkatanNya. Amin.

1 comment September 13, 2008

Ramadhan Mubarak

Sudah beberapa bulan juga blogspot ini tidak dikemaskini. AJK masing-masing agak sibuk dengan urusan harian.  Dalam sekelip  mata, bulan mulia telah tiba.  Ahlan Wasahlan Ramadhan Kareem.

Mesyuarat AJK kali ke 3 yang sepatutnya diadakan pada penghujung Ogos 2008 tidak dapat berlangsung kerana tidak cukup ahli yang dapat hadir. Namun para ajk yang ada membincangkan isu-isu semasa sekolah. Didapati terdapat beberapa perkara yang dipandang berat oleh PIBG. Perkara-perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa PIBG tetapi AJK berpendapat ianya tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan kerana ia melibatkan “well-being” dan masa depan anak-anak SMASKP. Dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang dipikul bagi pihak ibu bapa sekelian, pihak AJK telah memutuskan untuk membuat kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah JHEAINS bagi mendapatkan maklumbalas akan status isu-isu tersebut, yang mana pada fahaman kami, isu-isu ini telah lama dikemukakan ke jabatan. Sila lihat posting seterusnya yang kami dokumenkan minit perbincangan bersama Pengarah JHEAINS.

1 comment September 13, 2008

Buletin PIBG 1/2008

Buletin PIBG yang pertama telah diedarkan kepada ibu bapa yang hadir pada mesyuarat 3-Penjuru di Dewan Al-Khawarizmi SMASKP, 12 Julai 2008. Mesyuarat 3-penjuru tersebut memberi peluang kepada ibu bapa membincangkan keputusan peperiksaan anak-anak masing-masing bersama guru kelas dan juga guru subjek.

AJK PIBG amat berharap para ibu bapa yang ingin turut sama menyumbangkan tenaga dan kepakaran melalui platform PIBG ini agar menghubungi pengerusi biro segera atau Naib YDP (sila rujuk Direktori AJK)

Sila klik di sini untuk membaca Buletin PIBG pertama ini online >> pibg-buletin-1

Add comment July 13, 2008

Mesyuarat AJK PIBG 2/2008

Alhamdulillah, di dalam kesibukan masing-masing, AJK PIBG masih mampu meluangkan masa untuk bermesyuarat kali ke-dua pada 29hb Jun 2008 yang lalu. Mesyuarat kali ini turut dihadiri Pengetua selaku Penasihat persatuan. Antara agenda utama adalah pembentangan oleh setiap pengerusi biro berkaitan perancangan biro masing-masing. AJK juga telah memutuskan untuk mengeluarkan Buletin PIBG bagi memastikan komunikasi di antara ajk dan ibu bapa adalah adalah aktif. Minit mesyuarat akan dimasukkan ke laman blog ini tidak lama lagi.

Add comment July 13, 2008

Mesyuarat AJK 1/2008

Alhamdulillah, AJK PIBG baru telah mengadakan buat pertama kalinya pada 18 Mei 2008 yang lalu, membincangkan pelbagai perkara terutamanya Usul 2008 yang telah ditangguhkan pada mesyuarat agong lepas. Secara ringkasnya, usul-usul tersebut samada telah diambil tindakan oleh pihak sekolah, atau telah diserahkan kepada biro-biro berkenaan untuk difikirkan penyelesaian terbaik dan dibentangkan pada mesyuarat ajk akan datang. Minit mesyuarat boleh dicapai terus dari laman blog ini, <klik disini>.

InsyaAllah, AJK akan mengadakan mesyuarat kali ke-2 pada 29-Jun-2008 ini.

Add comment June 21, 2008

Keratan Akhbar 5-Mei-2008

05 Mei, 2008 16:38 PM  

GLC Dan Agensi Swasta Disaran Bantu PIBG Isi Tabung

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) — Pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran menjalankan tanggungjawab sosial mereka bagi membiayai program sekolah dan mengisi tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerjasama rapat di antara pihak swasta dan sekolah dilihat dapat memperkasakan lagi pendidikan negara.

“Penglibatan agensi swasta ini sememangnya saya terbuka dan mengalu-alukan, cuma sasaran bantuan itu perlu diberi kepada sekolah yang betul-betul memerlukan,” katanya kepada Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) mengenai langkah kerajaan membantu sekolah dan PIBG, Hishammuddin berkata pemansuhan yuran khas bagi murid sekolah tahun ini dan yuran peperiksaan mulai tahun lepas tidak langsung menjejaskan peranan PIBG dalam mencari sumber kewangan.

“Bayaran tambahan ini (PIBG) bukanlah yuran khas yang dikenakan kerajaan malahan tidak wajib dibayar oleh pelajar, ia merupakan sumbangan oleh PIBG kepada sekolah yang dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua pihak,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga sedang merangka pelbagai alternatif untuk menambah dana tabung kewangan PIBG seperti mempertimbangkan bantuan kerajaan kepada PIBG mengikut Kadar Bantuan Per Kapita (PCG).

Bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen, Hishammuddin berkata kementerian juga akan menyusun semula peruntukan dan program sekolah selaras dengan keadaan ekonomi sekarang bagi membantu mengisi tabung PIBG.

“Kita juga akan berbincang dengan pihak-pihak yang mewakili PIBG di peringkat nasional bagi mencari kaedah terbaik untuk memastikan PIBG yang benar-benar memerlukan bantuan ini, mendapat sokongan dan gerakan sewajarnya supaya aktiviti mereka di sekolah tidak terjejas dengan keadaan hari ini,” katanya.

– BERNAMA

Add comment May 6, 2008

Perbincangan Usul-usul daripada ibubapa/penjaga

Pihak AJK PIBG baru telah diberi mandat oleh para ahli untuk membincangkan usul-usul yang telah dikumpulkan dari ibubapa/penjaga. Sememangnya penting usul-usul ini dibincangkan segera, dan keputusannya di maklumkan kepada ibubapa/penjaga.

InsyaAllah AJK PIBG akan bermesyuarat pada 18hb Mei 2008 ini. Semoga keputusan bagi setiap usul dapat dipaparkan melalui blog ini (online record and reference).

Add comment April 29, 2008

Previous Posts


 

February 2010
M T W T F S S
« Apr    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728

More Pages

Archives

Blogroll